Selamat Memulakan Sesi Persekolahan 2022/2023

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Diam tak diam akhirnya kita bakal memulakan sesi persekolahan baru 2022/2023. Mulai Isnin, 21 Mac 2022 sesi persekolahan akan bermula secara PdPr terlebih dahulu selama dua minggu. 

Bagi yang tertanya-tanya mengapa kita masih belum bersemuka pada minggu hadapan, salah satu sebab utamanya ialah Peperiksaan SPM 2021 masih belum tamat dan hanya akan berakhir pada petang hari Selasa, 29 Mac 2022. Dalam pada itu beberapa orang guru serta pembantu pengurusan murid masih lagi bertugas sebagai pengawas peperiksaan tersebut sehinggalah ke pukul 4.30 petang, Selasa, 29 Mac 2022. Bagi sekolah yang ada calon murid berkeperluan khas (MBK) mungkin tamat pada pukul 5.30 atau 6.00 petang hari tersebut. 

Puan Norazlina dan Puan Nik Rozaimah sedang mengemas Bilik Calon MBK SMK Panchor sebelum peperiksaan bertulis SPM bermula pada awal Mac lalu.

Demikianlah keprihatinan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia menyantuni keperluan anak-anak khas kita demi memberi peluang kepada mereka untuk menjawab soalan peperiksaan mereka sehabis baik sekaligus meningkatkan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih baik.

Encik Poon Thin Fook ketika bertugas mengawas calon SPM Bilik Kuarantin di salah sebuah sekolah di Seremban.

Puan Noor Hawani Syafira ketika bertugas mengawas calon SPM Bilik Kuarantin di salah sebuah sekolah di Seremban.

Masih belum terlewat rasanya pihak KPKP SMK Panchor untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada tiga orang murid yang telah tamat alam persekolahan mereka iaitu Ayuni binti Azman, Muhammad Hanif bin Md Yusof dan Nur Afifah Myra binti Hisham. Dalam pada itu pihak kami juga mengucapkan selamat bertemu rakan-rakan baru kepada Mohamad Amirul Fitri bin Abdullah dan Nurul Syafikah binti Abdullah yang masing-masing akan bertukar ke sekolah baru di Johor Bahru mulai minggu hadapan.

Rakan-rakan kelas Permata Daei pasti akan merindui Ayuni, Hanif, Afifah dan Amirul yang tidak lagi bersama mereka dalam sesi akademik yang baru kelak.

Tahniah diucapkan kepada tiga orang pelajar KPKP SMK Panchor yang mendapat tempat di Sekolah Menengah Pendidikan  Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, Johor iaitu Anis Adilah binti Azizan (Kursus Dandanan Rambut), Muhammad Saihah bin Abdullah (Kursus Penerbitan Meja) dan Naqib Syahmie bin Nurul Hazri (Kursus Penyediaan Dan Pembuatan Makanan). Mereka bertiga akan melapor diri ke sekolah tersebut pada hari Ahad, 3 April 2022.

Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Nur Hazirah binti Mohd Radzi yang mendapat tempat di SMPKV Kuantan, Pahang untuk mengikuti Kursus Pembuatan Roti. Hazirah akan melapor diri ke sekolah tersebut pada hari Isnin, 4 April 2022.    

Belajarlah dengan tekun, tabahkan diri menghadapi suasana yang baru dan kalau berkesempatan nanti jangan malu-malu datang berkunjung ke KPKP SMK Panchor bagi menceritakan pengalaman di tempat baru bagi memotivasi rakan-rakan yang berpotensi di sini untuk berani meninggalkan zon selesa di KPKP SMK Panchor untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang di zaman yang serba mencabar ini. 

Kepada para pelajar baru yang berjumlah dua belas orang (setakat 18 Mac 2022), selamat datang kami ucapkan. Kepada para pelajar sedia ada, tanamkan azam untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada tahun ini. 

Apa kita nak tanam tahun ini?

Kepada para penjaga semoga kita akan terus menjalinkan ukhwah dalam suasana yang penuh muhibah demi kemajuan anak-anak istimewa KPKP SMK Panchor.

Jangan lupa dapatkan modul PdPr di pondok jaga sekolah.

Akhir kata, semoga semua urusan kita dipermudahkan oleh Tuhan.

Nota:Nukilan di atas adalah hasil penulisan oleh Cikgu Noor Azlan bin Abd Rahman yang merupakan salah seorang blogger untuk blog ini. Beliau merupakan salah seorang guru di KPKP SMK Panchor. Tulisan di atas secara umumnya tidak mewakili dasar-dasar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan hanya bersifat pandangan peribadi. 

Comments

Popular posts from this blog

Salam Takziah buat Ahmad Razeq Danial & Keluarga

Menerima Kunjungan Warga SMA Negeri 1, Padang, Indonesia

Pengemaskinian Maklumat Murid Secara Online Penjaga